Monday, December 20, 2010

Melaka Cuisine: Kuih Kaswi

Kuih Bujang Lapok atau juga dikenali dengan nama klasiknya, kuih Kaswi amat terkenal dan popular dikalangan penduduk Melaka. Kuih Kaswi sememangnya sangat digemari oleh segenap lapisan masyarakat dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa dan warga emas. Rasanya yang lazat, lembut serta mudah dibuat menjadikan kuih ini sebagai kuih pilihan untuk majlis-majlis kenduri dan santapan untuk minum petang.

Kuih Bujang Lapok atau Kaswi ini berasal dari Semenanjung Malaysia dan mula dicipta oleh penduduk Selatan seperti di Melaka dan Johor. Dipercayai bahawa kuih ini merupakan kuih tradisional yang menjadi santapan golongan biasa sewaktu era kegemilangan Kesultanan Melaka. Kuih ini dihidangkan pada majlis keraian rakyat bawahan ketika itu. Namun, mengikut penceritaan orang-orang lama di Melaka, kuih Kaswi menjadi kuih kegemaran isteri Sultan Sultan Mahmud Syah, Permaisuri Tun Fatimah yang berasal dari golongan biasa.

Setelah beliau dibawa masuk ke istana, banyak makanan golongan rakyat biasa telah diperkenalkan kepada Sultan Mahmud termasuklah kuih Kaswi. Kuih ini menjadi hidangan masyarakat di Melaka sejak turun temurun sehinggalah menjadi sangat popular setelah digelar kuih Bujang Lapok pada sekitar tahun 60-an sempena filem Bujang Lapok lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. 

Beginilah bentuk dan rupa kuih Kaswi atau Bujang Lapok

Oleh kerana kuih ini bewarna gelap (coklat kehitaman) dan diselaputi kelapa parut yang nampak seperti berbulu-bulu dan berlapuk, kuih ini telah digelar sebagai kuih Bujang Lapok. Mari kita lihat bahan-bahan yang diperlukan dan cara-cara untuk membuat seloyang besar kuih Kaswi.

Bahan-bahan yang diperlukan:
5 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
Sedikit kapur
2 setengah cawan gula pasir
2 cawan gula tebu
3 helai daun pandan wangi
Kelapa parut (kelapa muda)
Garam
Air

Cara-cara:
1. Masak 2 mangkuk air dan masukkan daun pandan.
2. Setelah air mendidih, masukkan gula tebu. Masak sehingga gula larut dan sebati
3. Setelah gula larut dan mendidih, padamkan api dan biarkan sehingga suam / pesam.
4. Sediakan mangkuk besar, masukkan tepung gandum dan tepung ubi, gaul sebati.
5. Masukkan kapur, gula pasir, sedikit garam (hujung sudu kecil) dan air gula tebu kedalam mangkuk tepung, kacau sehingga sebati.
6. Kacau dan masukkan air mengikut kepekatan yang dikehendaki, tambah air jika terlalu pekat. Jangan terlalu cair.
7. Tuangkan adunan kedalam loyang dan kukus sehingga masak.
8. Setelah masak, kuih akan mengental dan membeku, biarkan sejuk terlebih dahulu.
9. Gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam, Potong kuih dan golekkan dengan kelapa parut dan boleh dihidangkan.

Mudahkan cara-cara membuatnya? Cubalah. Kalau malas, beli sahaja di gerai atau pasar malam =)