Thursday, January 06, 2011

Berita: Kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278: Penyelidik

Empayar Melaka

Gambaran Pelabuhan Melaka

Catatan sejarah negara kita telah berubah setelah hasil kajian sekumpulan penyelidik tempatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Melaka telah mendapat pengiktirafan. Para penyelidik tersebut telah mendapati bahawa Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya telah diasaskan pada tahun 1962 dan bukannya pada 1400. 

Penemuan ini telah memeranjatkan banyak individu atau pihak dan bagaimananpun, menurut Datuk Dr. Mohd Yusoff Hashim yang merupakan Pengerusi jawatankuasa penyelidikan berkenaan, keputusan itu adalah muktamad. Tahniah dan syabas untuk Ketua Menteri Melaka, DAR kerana telah berusaha dan membuka mata para penyelidik supaya tidak sewenang-wenangnya mempercayai hasil kajian dan penulisan barat terutamanya Tom Pires.

Berikut merupakan artikel-artikel tentang penyelidikan terbabit:


MELAKA: Sepasukan penyelidik yang dilantik kerajaan Melaka mendapati kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278 dan bukannya pada 1400 sebagaimana diketahui umum selama ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata 1278 itu dipilih berdasarkan kepada Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu, salah seorang kerabat diraja Johor ketika itu yang ditugaskan menyalin naskhah itu, yang menjadi asas rujukan dan sumber oleh kumpulan penyelidik berkenaan.

"Jawatankuasa Penyelidik bersetuju Melaka bermula sebagai satu entiti politik yang dikenali sebagai Kesultanan Melayu Melaka di alam Melayu pada 1278," katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini, Mohd Ali berkata hasil penyelidikan itu dibentangkan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di pejabatnya di Ayer Keroh di sini, semalam.

Jawatankuasa penyelidik dengan 15 anggota itu dipengerusikan Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka, Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim manakala ketua penyelidik Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

Jawatankuasa itu diberi tugas membuat kajian dan penyelidikan bagi mengenalpasti tahun penubuhan kerajaan Melayu Melaka sebagai satu entiti politik di alam Melayu dan memulakan penyelidikan pada Jun tahun lalu.

Mohd Ali berkata kumpulan penyelidik berkenaan menolak 1400 sebagai tahun kerajaan Melayu Melaka diasaskan kerana ia hanya berdasarkan kepada kesepakatan sarjana barat, bukan berdasarkan kepada fakta sejarah.

"Suma Oriental (dunia Timur) yang ditulis oleh Tome Pires pada 1512-1515 hanya berdasarkan pengumpulan maklumat menggunakan kaedah dengar cakap, bukan dokumen bertulis, dan menyatakan bahawa Melaka bermula sebagai satu entiti politik pada 1400," katanya.

Diketahui umum, Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara antara 1400 dan 1403.

Berikutan penemuan baru itu, Mohd Ali berkata satu seminar akan diadakan pada tahun ini bagi membincangkan lebih lanjut perkara berkenaan.

Sementara itu, Dr Abdullah Zakaria berkata mereka menjalankan penyelidikan dan kerja lapangan di negara ini dan Indonesia.

Beliau berkata tahun penubuhan kerajaan Melayu Melaka adalah berasaskan tempoh pemerintahan Raja-raja Melaka seperti yang dikisahkan dalam Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu.

Katanya mereka juga mempunyai bukti lain yang dapat mengesahkan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278. - Bernama

Melaka diasaskan pada 1262

Oleh NUZULSHAM SHAMSSUDDIN
zulsham@kosmo.com

MOHD. ALI bersalam dengan para peserta Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka di Melaka semalam.


MELAKA – Jika pada April lalu sekumpulan penyelidik merumuskan sejarah penubuhan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278 tetapi kali ini tarikhnya berubah kepada lebih awal iaitu 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang menjadi rujukan selama ini.


Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai penubuhan kerajaan Melayu Melaka itu diputuskan hasil kesepakatan kajian selama setahun oleh sepasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri menerusi kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).

keputusan itu dipersetujui pada Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan semalam.

“Keputusan ini muktamad ekoran hasil kajian oleh sekumpulan penyelidik sejak Jun 2009 yang bersepakat untuk menolak pendapat penulis-penulis terdahulu.

“Sebelum ini, tarikh 1400 dan 1278 yang dikemukakan tidak mempunyai ciri fakta yang kukuh sebagai tahun sebenar penubuhan kerajaan Melayu Melaka kerana tahun itu diperoleh daripada andaian dan tujuan penulisan berdasarkan sumber-sumber yang ada,” katanya.