Wednesday, January 12, 2011

Melaka Cuisine: Paceri Nenas


Paceri ataupun pajeri adalah merupakan sejenis resepi Melayu yang sangat mudah dan lazat. Masakan ini menjadi hidangan sampingan untuk kenduri kendara ataupun pada hari-hari biasa. Terdapat pelbagai jenis paceri yang boleh didapati di Melaka antaranya paceri terung, paceri nenas, pajeri kedondong, paceri mangga dan paceri udang galah. 


Resepi ini menjadi ikutan turun temurun dan mengalami perubahan dan tambahan mengikut peredaran masa. Kelazatan paceri terletak pada ramuan yang dimasukkan sewaktu memasaknya seperti tambahan udang geragau, buah pelaga dan kerisik. Di Melaka, paceri nenas dan paceri terung adalah yang paling popular dan digemari oleh pelbagai kaum. Anda boleh merasai kelazatan paceri nenas di restoran-restoran seperti Padang Serai, Lot 85, Seri Percik dan sebagainya.


Ingin mempelajari resepi paceri? Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan dan cara-cara memasaknya:


Bahan-bahan:

1 biji nenas (pilih yang hampir masak)
Semangkuk santan pekat
Sedikit udang kubu (udang kering)
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 inci halia
Sedikit kayu manis
3 biji bunga lawang
2 biji bunga cengkih
4 biji buah pelaga
1 paket serbuk kari daging
4 camca besar kerisik
3 camca besar gula pasir
Sedikit gula Melaka
Garam secukup rasa


Cara-cara:
1. Bersihkan nenas dan potong mengikut saiz yang sesuai, bersihkan udang kubu.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bawang, halia, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga. 
3. Kacau semua bahan dan masukkan udang kubu. Kacau sehingga bawang layu dan naik bau lalu terus dimasukkan rempah kari yg sudah di bancuh dengan sedikit air. Kacau sehingga rempah masak dan timbul minyak.
4. Masukan santan dan kacau, biar kuah mendidih seketika, masukkan gula pasir dan gula Melaka, kerisik dan potongan nenas. 
5. Masukkan garam secukup rasa dan kacau. Biarkan sehingga nenas sedikit empuk. 
6. Siap untuk dihidangkan.

Cubalah!