Wednesday, March 02, 2011

Berita: Projek Pembinaan UiTM Seri Mendapat, Semujuk

PM merasmikan projek pembinaan UiTM Jasin

UiTM kini mengorak langkah setapak lagi kehadapan setelah projek pembinaan sebuah kampus baru di daerah Jasin mukim Semujuk telah mendapat kelulusan berikutan penolakan Kerajaan Negeri Selangor atas pembinaan kampus UiTM di Serendah.

Tapak projek UiTM Jasin

Pembinaan kampus baru ini dianggap sebagai suatu rahmat bagi penduduk mukim Semujuk kerana projek pembangunan dikawasan tersebut akan menjadi semakin pesat dengan terbinanya kampus berkenaan.

DAR meninjau perkembangan projek UiTM Jasin

Berikut merupakan artikel berkaitan pembinaan kampus UiTM Jasin yang dipetik dari Berita Harian Online:-

01/02/2010

Jasin lokasi baru UiTM ganti Rawang

JASIN 31 Jan. - Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pada awalnya dicadang dibina di Serendah, Rawang, akan mula dibina di Semujuk, Melaka, dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang melawat tapak kampus baru itu berkata, kerja-kerja pembinaan projek tersebut dijangka bermula dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Katanya, jika pembinaannya berjalan lancar, kampus itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun iaitu menjelang 2013.

''Ia akan dibina di atas tanah milik Yayasan Melaka dengan keluasan kira-kira 87.2 hektar," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan kampus baru UiTM mukim Semujuk, Jasin di sini semalam.

Kampus itu terpaksa didirikan di Melaka ekoran tindakan kerajaan negeri Selangor yang tidak membenarkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor membina kampus itu di tapak tanah milik yayasan itu di Serendah.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, keputusan itu dibuat atas alasan YBK bukannya pihak yang berautoriti untuk mengeluarkan kenyataan atau keputusan mengenai pemilihan tapak pembinaan kampus universiti itu di negeri Selangor.

Masalah kelulusan tapak itu bermula apabila YBK enggan mengikut syarat ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu mesti melantik Menteri Besar dan seorang Exco sebagai anggota dalam lembaga yayasan tersebut.

Melaka kemudiannya menawarkan tapak di negeri itu untuk pembinaan kampus baru tersebut.

Menurut Mohd. Ali, dengan pembinaan kampus baru tersebut, Melaka kini mempunyai tiga kampus UiTM iaitu UiTM Lendu di Alor Gajah dan Kampus UiTM Bandaraya.

Ujarnya, apabila siap kelak, sebagai permulaan, kampus baru itu bakal mengambil kira-kira 5,000 pelajar baru.

Beliau memberitahu, pembinaan kampus UiTM itu yang menelan nilai pelaburan kira-kira RM300 juta dibuat menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta.

''Saya harap kampus baru ini boleh dibina dalam tempoh sebulan dua ini dan kita sedang tunggu pelan bangunan siap, kita boleh luluskan dalam tempoh sehari sahaja," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, pihak UiTM masih belum memikirkan nama yang sesuai untuk diberikan kepada kampus baru tersebut.

20/02/2011

Selangor rugi tolak UiTM

Oleh amran mulup
utusanmelaka@utusan.com.my

JASIN 19 Feb. – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membuat keputusan tidak bijak apabila menolak projek pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sebidang tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah, Selangor pada 2009.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu merugikan penduduk di Hulu Selangor dan yang mendapat rahmatnya kini adalah penduduk di Seri Mendapat di sini ekoran pembinaan kampus baru di tanah seluas 218 ekar itu.

“Kerajaan Selangor tidak bijak kerana menolak rezeki tetapi sebaliknya orang Melaka khususnya di Seri Mendapat mendapat untung dengan pembinaan UiTM Melaka Kampus Jasin yang baru.

“Keputusan yang diambil oleh kerajaan pembangkang itu bermotif politik kerana sanggup menzalimi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), sebuah yayasan untuk membantu orang miskin dan anak-anak yatim.

‘‘Tetapi kita nak tunjukkan kebenaran bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) membela rakyat dan pelajar UiTM,” ujarnya.

Beliau berucap pada majlis perasmian mula kerja di tapak projek UiTM Melaka Kampus Jasin dan pertukaran dokumen perjanjian pinjaman antara YBK Usahasama Sdn. Bhd. dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad di Seri Mendapat di sini, hari ini.

Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Kampus baru UiTM Melaka cawangan Jasin dibina di atas tanah seluas 218 ekar di Mukim Semujuk daerah Jasin di sini menempatkan satu kompleks yang boleh menampung kapasiti pelajar berjumlah 5,000 orang.

Projek pembinaan kampus bernilai RM297 juta itu bakal menempatkan tiga buah fakulti iaitu Sains Gunaan, Pengurusan Ladang serta Sains Komputer dan Matematik yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sejak penubuhan UiTM pada 1967, seramai 400,000 graduan dilahirkan, manakala 180,000 masih menuntut di universiti berkenaan di seluruh negara.

Beliau menambah, bekas graduan daripada universiti berkenaan kini masing-masing memegang jawatan tinggi sama ada di sektor awam atau swasta manakala sebahagian daripadanya menjadi tenaga profesional.

Ujarnya, kalau dikaji latar belakang bekas graduan UiTM, mereka terdiri daripada keluarga miskin, petani, nelayan, penoreh getah dan pembantu am rendah tetapi hari ini mereka berjaya menjawat jawatan tertinggi.

“Ini semua dilakukan kerana kita percaya kalau nak mengubah untung nasib sesebuah bangsa, senjata paling berkesan sekali adalah melalui pendidikan dan ini telah kita buktikan sebagai satu kenyataan,” ujarnya.